Sinopsis Novel Interlok (Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya)
Buku Empat
Interlok
Buku Empat
Interlok
1
Ketika Maniam teringat akan anaknya dan Malini yang sudah ditinggalkannya selama dua puluh satu tahun itu, Seman datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan pekerjaan di kebun getah itu. Maniam mengatakan bahawa bapa Seman ialah kawan baiknya suatu masa dahulu. Dia berjanji untuk membantu Seman yang terpaksa membina kehidupan baharu bersama-sama dengan emaknya kerana dia disuruh keluar dari rumahnya oleh Cina Panjang kerana semua harta termasuk tanah dan rumahnya sudah menjadi milik Cina Panjang itu. Sejak kematian bapanya, Seman kuat beribadat dan memohon doa kepada Tuhan supaya diberikan perlindungan dan pertolongan. Pada malam itu, dia singgah di surau untuk menunaikan solat Isyak sebelum pulang ke rumahnya. Seman mengajak emaknya meninggalkan rumah itu esok paginya dan mengatakan bahawa dia sudah mendapat kerja di kebun getah. Seperti yang dijanjikan, Maniam menunggu Seman dan emaknya lalu menunjukkan rumah kuli yang akan menjadi tempat tinggal mereka nanti.
2
Selepas Cing Huat memarahi, menampar dan menghalaunya pada suatu malam, Yew Seng sudah nekad untuk meninggalkan rumah pada pagi esoknya. Dia akan pergi ke sebuah lombong yang berhampiran dengan Cangkat Janggus dan bekerja sebagai kuli di lombong bijih itu. Yew Seng sering kali bertentangan pendapat dengan bapanya dan dia juga suka berkawan dan bermain dengan budak-budak Melayu terutamanya Lazim. Perkara yang dilakukannya itu memang tidak disukai oleh bapanya. Di samping itu, Yew Seng selalu bersimpati dengan Lazim atas kemunduran orang Melayu. Dia mengatakan bahawa orang Melayu sama sahaja dengan orang Cina dan mereka bukannya orang hutan seperti yang selalu didakwa oleh bapanya itu. Di lombong bijih itu, dia mengenali Kong Beng yang menjadi kepala kuli di situ.
3
Setelah dua tahun setengah meninggalkan kampungnya, Seman pulang dan bersembahyang Jumaat di masjid Kampung Nyiur Condong pada suatu hari. Di situ, dia bertemu dengan Lazim dan hasratnya untuk meminang Upik pula terpaksa dilupakan apabila Lazim memberitahu bahawa Upik sudah berkahwin dengannya. Walau bagaimanapun, Setelah dicadangkan oleh Lazim, Seman meminta bantuan Lebai Man untuk mewakilinya bagi merisik Gayah, anak Mat ranggi untuk dijadikan isterinya. Walaupun pada mulanya Mat Ranggi tidak bersetuju dengan hasrat Seman itu, tetapi akhirnya dia menyedari kesilapannya selama ini, iaitu dia terlalu mementingkan harta.
4
Seman akhirnya berkahwin dengan Gayah iaitu anak Mat Ranggi yang sudah dapat menerimanya sebagai menantu walaupun dia tidak berharta. Dia memberitahu Maniam bahawa dia mahu berhenti kerja kerana hendak pulang ke Kampung Nyiur Condong dan berkahwin dengan Gayah. Selepas berkahwin, Seman tinggal bersama-sama dengan bapa mentuanya, dan ibunya pula tinggal di pondok yang berhampiran dengan rumah Lebai Man untuk memudahkannya belajar agama bersama-sama dengan pelajar yang lain.
5
Apabila tentera Jepun masuk ke Tanah Melayu, keadaan menjadi tidak tenteram dan tentera orang putih mula mengundurkan diri. Orang-orang Cina pula gelisah dan takut akan tentera Jepun. Keadaan menjadi tidak tenteram kerana banyak berlaku rompakan. Sebagai contohnya, ada orang Melayu yang sanggup merompak kedai-kedai orang Cina untuk membalas dendam. Dalam satu rompakan di kedai Cing Huat pada suatu malam, Poh Eng hilang, tetapi dia telah diselamatkan oleh Seman. Seman membawa Poh Eng dan emaknya berlindung di rumah pekerja di kebun Cangkat Janggus. Pada suatu hari, tentera Jepun datang ke kedai Cing Huat dan bertanyakan Yew Seng yang menyertai kumpulan pengganas komunis yang diketuai oleh Kong Beng. Secara senyap-senyap, Yew Seng pula balik ke rumahnya pada suatu malam dan meminta makanan. Dia berjanji kepada bapanya untuk mencari Poh Eng yang hilang.
6
Selepas pengurus orang putih meninggalkan ladang mereka, orang Jepun pula yang mengambil alih pengurusan ladang. Walau bagaimanapun, orang-orang yang tidak dikenali telah menculik pengurus kebun Cangkat Janggus pada suatu malam. Poh Eng pula telah dibawa lari oleh abangnya, Yew Seng pada malam itu juga. Mak Limah telah ditangkap oleh Jepun berikutan dengan kehilangan pengurus Jepun di kebun Cangkat Janggus itu.
7
Maniam dan beberapa orang kuli dari kebun Cangkat Janggus pula telah ditangkap oleh Jepun disebabkan oleh kehilangan pengurus Jepun itu. Semasa dalam tahanan, Maniam telah diseksa oleh tentera Jepun. Walau bagaimanapun, dia telah bertemu dengan anaknya sendiri iaitu Inspektor Ramakrisynan yang bertugas di situ dan membebaskannya. Maniam meminta bantuan daripada anaknya itu, iaitu Inspektor Ramakrisynan supaya membebaskan Mak Limah. Cing Huat pula sangat marah apabila mengetahui Seman dan Mak Limah yang menyembunyikan Poh Eng.
8
Keadaan menjadi semakin gawat dan sukar kerana barang-barang keperluan sangat kurang dan harganya melambung tinggi. Orang kampung juga semakin susah akibat hasil pertanian mereka terpaksa dijual dengan harga yang murah kepada Jepun dan sekiranya mereka enggan, hasil pertanian itu akan dirampas dan tuan punyanya pula akan ditangkap dan dihukum. Kebun-kebun pula sering diserang oleh gerombolan komunis pada waktu malam dan pengurus-pengurusnya yang terdiri daripada orang Jepun itu ditangkap ataupun dibunuh. Lazim turut ditangkap oleh Jepun kerana menghasut orang kampung supaya jangan menjual padi mereka kepada Jepun.
9
Setelah Jepun tewas, orang Inggeris kembali ke Malaya dan pada masa itu berlaku penentangan terhadap pengganas komunis. Sementara itu, pengganas komunis pula semakin mengganas dan bertindak dengan kejam terhadap orang putih dan juga rakyat Malaya. Gerombolan pengganas komunis telah mengambil alih balai polis dan Inspektor Rama ditangkap kerana bekerjasama dengan Jepun. Namun begitu, Yew Seng berjumpa dengan Lazim yang secara kebetulannya ditahan di balai polis itu, dan dia terus membebaskan kawannya itu.
10
Orang Melayu yang diwakili oleh Lazim, Mail Jambul, dan Berahim mengajak orang-orang Melayu agar bersatu padu dan menentang gagasan Malayan Union yang hendak diperkenalkan oleh Inggeris. Kemudian darurat diisytiharkan di seluruh negeri kerana Parti Komunis Malaya melakukan pemberontakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan komunis di wilayah-wilayah yang telah dirampas daripada tangan Inggeris. Mereka mengatakan bahawa perkara itu dilakukan untuk membebaskan seluruh Malaya daripada penjajahan Inggeris dan untuk mencapai matlamat itu, mereka terpaksa melumpuhkan ekonomi negeri ini terlebih dahulu. Oleh sebab itu, mereka terpaksa merosakkan kebun-kebun getah dan kelapa serta menghancurkan lombong-lombong bijih.
Sementara itu, Yew Seng dan Kong Beng kembali semula ke hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang kebun-kebun di kawasan itu pada setiap malam dan membunuh orang putih yang menjadi pengurusnya. Selain itu, mereka terus menyerang dan merosakkan pokok-pokok getah serta menghancurkan lombong bijih. Cing Huat pula telah dilantik sebagai pengerusi persatuan orang Cina di pekan kecil di kawasan tempatnya tinggal itu. Mereka berjuang untuk membersihkan nama orang Cina akibat dakyah pengganas komunis yang sesat itu dan memperjuangkan kebajikan orang-orang Cina. Orang-orang India juga mempunyai pertubuhan yang sama dan memperjuangkan kebajikan kaum mereka. Pertubuhan mereka itu dipimpin oleh Raman iaitu seorang guru yang pernah bertugas di kebun Cangkat Lima.
Suppiah dan dua anggota baharu gerombolan itu menangkap Maniam dan dibawa ke dalam hutan di tempat persembunyian gerombolan tersebut pada suatu malam. Ketika Suppiah hendak menembak Maniam, Poh Eng menyelamatkan Maniam dengan menembak Suppiah. Pada masa itu juga, Inspektor Rama dan pasukan keselamatannya melakukan serangan hendap terhadap gerombolan pengganas komunis itu. Dalam serangan tersebut pasukan keselamatan telah berjaya menewaskan gerombolan pengganas komunis. Yew Seng pula cedera parah di bahagian atas lututnya dan anggota pengganas yang masih hidup telah ditangkap.
Yew Seng dan Poh Eng sedar dan insaf akan perjuangan mereka yang sia-sia selama ini kerana tidak menyangka Kong Beng ialah anggota pengganas komunis yang anti-Inggeris, anti-Jepun, dan antipenjajah. Orang-orang di pekan Simpang Empat pula berasa gembira dan mereka hendak menyaksikan perayaan kemerdekaan yang akan berlangsung selama tiga hari dan tiga malam. Mereka semuanya berasa gembira apabila Malaya akan mendapat kemerdekaan daripada Inggeris. Seman dan isterinya Gayah, Yew Seng, Lazim, Mamat Labu, Pak Haji Man, Ah Hock, dan Raman akan merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Inspektor Ramakrisynan pula menjemput mereka datang ke rumahnya kerana bapanya hendak berjumpa dengan mereka.
sumber: http://khirkassim.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment